AM

UMT Lancar Projek Rintis Komuniti Tertumpu

12/09/2025 03:25 PM

KUALA NERUS, 12 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan Projek Rintis Komuniti Tertumpu di Kampung Kubang Badak sebagai satu inisiatif memperkasa ekonomi setempat.

Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata ia melibatkan projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), Akuakultur Integrasi dan Keusahawanan Cendawan Tiram.

Beliau berkata bagi menjayakan projek itu, peruntukan lebih RM100,000 telah disalurkan melalui dana Program Sejahtera Komuniti MADANI@KPT (SejaTi MADANI@KPT), Komuniti@UniMADANI dan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

“Usaha ini adalah satu inisiatif strategik yang menzahirkan komitmen universiti dalam memperkasa komuniti setempat melalui pemindahan ilmu, inovasi dan pembangunan mampan.

“Ia juga selari dengan agenda universiti untuk memasyarakatkan nilai-nilai MADANI yang inklusif dan progresif bersandarkan slogan UMT iaitu U & Me Together,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Rintis Komuniti Tertumpu UMT di Surau At-Taqwa, Kampung Kubang Badak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Zamri turut melepaskan 1,500 benih ikan keli ke dalam tangki ternakan sebagai simbolik majlis peluncuran.

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata pemilihan Kampung Kubang Badak sebagai lokasi projek berdasarkan faktor kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan kampus, sekali gus memudahkan kerja-kerja koordinasi dan pemantauan.

Beliau berkata sebanyak 30 peserta dalam kalangan suri rumah, ibu tunggal, pesara dan golongan belia terlibat dalam projek yang dijangka memberi pendapatan tambahan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

“Projek SPAH sebagai inisiatif pengurusan sumber air secara lestari, Projek Akuakultur Integrasi menggabungkan penternakan ikan dengan pertanian manakala Program Keusahawanan Cendawan Tiram memberi latihan dalam bidang penanaman, pengurusan serta pemprosesan produk berasaskan cendawan.

“Kerjasama antara universiti dan komuniti dengan sokongan agensi kerajaan diharap dapat mengangkat dan menjadikan Kampung Kubang Badak sebagai model komuniti luar bandar yang progresif, berdaya saing dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan