AM

MHI 2024 Catat Skor 7.60, Rakyat Malaysia Dalam Kategori Bahagia - DOSM

12/09/2025 02:21 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 mencatatkan skor keseluruhan 7.60, menempatkan rakyat di negara ini dalam kategori bahagia, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, DOSM memaklumkan penemuan ini menandakan pencapaian penting dalam penilaian kesejahteraan negara, selari dengan aspirasi pembangunan yang inklusif, berpaksikan rakyat dan berteraskan bukti.

MHI 2024 dibangunkan berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama, iaitu fizikal, sosial, emosi, dan spiritual.

"Dengan 94 indikator yang dirangkumkan kepada 13 komponen kebahagiaan, indeks ini berfungsi sebagai alat statistik sosial yang komprehensif dan berimpak tinggi dalam menilai kualiti hidup rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.

Buat kali pertama, laporan MHI diterbitkan secara terperinci pada peringkat negeri dan daerah pentadbiran yang membolehkan penilaian kebahagiaan dilakukan secara lebih bersasar dan berpandukan kepada realiti lokaliti.

DOSM memaklumkan sebanyak 16 laporan negeri dihasilkan, dengan Terengganu merekodkan skor 8.64, Johor (8.08) and Negeri Sembilan (8.01) berada pada tahap sangat bahagia manakala 36 daerah turut  mencatatkan tahap yang sama dengan Kluang memperoleh skor tertinggi, iaitu 9.83 diikuti Raub (9.52) dan Mersing (9.50).

Skor kebahagiaan di kawasan bandar (7.61) dan luar bandar (7.56) menunjukkan keseimbangan kesejahteraan antara strata geografi.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penerbitan MHI pada peringkat mikro ini merupakan satu lonjakan dalam sistem statistik sosial negara, membolehkan penggubal dasar memahami realiti kehidupan rakyat secara lebih mendalam dan merangka intervensi yang lebih tepat.

"Dapatan menunjukkan bahawa komponen Keagamaan dan Kerohanian (8.69) serta Keluarga (8.64) ialah penyumbang utama kepada kebahagiaan rakyat manakala komponen Kebudayaan (6.22) mencatatkan skor terendah, namun masih dalam kategori bahagia.

"Dari segi demografi, perempuan (7.62) merekodkan skor lebih tinggi berbanding dengan lelaki (7.57) dan kumpulan umur 15-19 tahun (7.79) merupakan golongan paling bahagia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan