ISKANDAR PUTERI, 11 Sept (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah Penang FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz mempamerkan penguasaan mutlak sejak awal permainan dan membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Jairo Da Silva yang menanduk masuk hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi.
Arif Aiman kemudian menambah gol tuan rumah pada minit ke-18 sebelum meledak jaringan peribadi keduanya pada minit ke-31 untuk meletakkan JDT selesa mendahului 3-0.
Empat minit selepas itu, Joao Figueiredo menjaringkan gol keempat JDT dengan rembatan jarak jauh selepas melihat penjaga gol Penang FC Mohd Khairulazhan Mohd Khalid berada jauh dari gawang, sebelum Jon Irazabal melengkapkan babak pertama dengan tandukan gol kelima.
Memasuki babak kedua, JDT tidak mengendurkan asakan dan Antonio Glauder menambah jaringan keenam pada minit ke-52.
Skuad Harimau Kumbang hampir membolosi gawang tuan rumah dua minit kemudian namun jaringan Dylan Wenzel-Halls dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain itu melakukan kekasaran terhadap penjaga gol JDT.
Perlawanan malam ini turut menyaksikan pemain tuan rumah Hector Hevel dilayangkan kad kuning pada minit ke-82 kerana mengasari lawan.
Kemenangan bergaya malam ini menyaksikan JDT gah di tangga teratas Liga Super manakala Penang terus bergelut mencari rentak dalam saingan liga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial