KUANTAN, 11 Sept (Bernama) -- Kabel penghubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang lebih 1,600 meter antara Temerloh dan Bentong dilaporkan telah dicuri baru-baru ini.
China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) memaklumkan kabel sepanjang 1,080 meter di jajaran Temerloh dan Lanchang serta 599 meter di jajaran Lanchang dan Bentong telah dicuri dalam tempoh dua minggu.
“CCCECRL mengecam insiden kecurian kabel penghubung di jajaran ECRL dari Temerloh ke Bentong. Kejadian ini telah menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional ini.
“Sejak Jun lepas, beberapa siri kecurian komponen rel bernilai tinggi termasuk kabel dan transformer telah dikesan. Insiden terbaru menunjukkan trend kecurian semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kemajuan projek,” menurut kenyataan itu.
Menurut CCCECRL, kecurian itu bukan sahaja meningkatkan kos pembaikan dan penggantian malah turut menyumbang kepada kelewatan perkembangan keseluruhan projek.
“Komponen gantian yang ditempah khas memerlukan masa berbulan-bulan untuk diperoleh, sekali gus menjejaskan peranan penting projek ECRL dalam membawa manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang kepada Wilayah Pantai Timur dan negara secara keseluruhan,” katanya.
CCCECRL memaklumkan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lanchang dan pihaknya kini bekerjasama rapat dengan polis bagi siasatan lanjut.
Orang awam turut dinasihatkan agar tidak membeli sebarang kabel elektrik atau komponen yang dipercayai milik projek ECRL serta segera melaporkan aktiviti mencurigakan kepada polis atau pejabat seksyen CCCECRL.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial