AM

Jadikan Labuan Hab Serantau Di Borneo - Dr Zaliha

11/09/2025 06:32 PM

LABUAN, 11 Sept (Bernama) -- Labuan perlu dijadikan sebagai hab serantau utama yang menghubungkan seluruh Borneo, berfungsi sebagai pintu masuk untuk perdagangan, pelancongan, kebudayaan dan kerjasama rentas sempadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata lokasi Labuan yang strategik di tengah-tengah Borneo meletakkannya dengan kukuh dalam ekosistem serantau.

Beliau berkata kedudukan Labuan di sepanjang laluan maritim antarabangsa menjadikannya destinasi persinggahan penting, pusat logistik dan tuan rumah untuk acara antarabangsa.

"Bagaimanapun Labuan berdepan cabaran dari segi skala pasaran dan kebergantungannya kepada industri tertentu, termasuk kapasiti penginapan pelancongan yang terhad dan rangkaian pengangkutan yang memerlukan pengukuhan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Festival Borneo Flora (BFF) 2025 di Desa Tunas Hijau, Sungai Miri di sini malam tadi.

Dr Zaliha berkata langkah seperti menarik pelabur, memperkasakan usahawan tempatan dan melaksanakan model perkongsian awam-swasta harus diutamakan untuk menangani cabaran tersebut khususnya dalam meningkatkan kapasiti penginapan dan mengukuhkan kesalinghubungan pengangkutan.

Beliau menambah Pelan Tindakan Pelancongan Labuan mesti dilaksanakan dengan berkesan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan serta meningkatkan komuniti setempat.

Acara anjuran bersama pelbagai agensi kerajaan itu diadakan bagi mengiktiraf jabatan, agensi, sektor swasta, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan atas sumbangan mereka dalam menjayakan pementasan BFF 2025 pada Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan