AM

CAP Sambut Baik Cadangan Kerajaan Haramkan Vape

11/09/2025 05:36 PM

GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung cadangan kerajaan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik (e-rokok) dan vape demi menyelamatkan generasi muda.

Pegawai Pendidikan dan Aktivis Antimerokok CAP N. V. Subbarow berkata pihaknya berharap langkah itu dilaksanakan segera dan bukannya secara berperingkat kerana pengambilan vape dalam kalangan pelajar serta golangan muda baik lelaki mahupun perempuan, kini sudah tidak dapat dikawal lagi.

"Kerajaan Persekutuan mestilah mengharamkan sepenuhnya penjualan e-rokok dan vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan dalam kalangan golongan muda dan ia sebenarnya telah berkembang menjadi masalah narkotik yang semakin serius.

"CAP merayu agar Menteri Kesihatan untuk tidak melaksanakannya secara berperingkat iaitu bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri lain masih belum mengikut langkah enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape menerusi bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kenapa mereka perlu menunggu lagi sedangkan budaya vape sudah menjadi masalah besar dalam kalangan generasi muda? Pengharaman penuh perlu dikuatkuasakan segera kerana isu vape kini bukan sahaja berkaitan ketagihan nikotin, malah telah berkembang menjadi masalah narkotik yang lebih serius," katanya.

Media semalam melaporkan Dr. Dzulkefly, dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, dilaporkan berkata kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Dzulkefly dilaporkan berkata pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan