EKONOMI

Johor Dijangka Rekod Hasil RM2.5 Bilion Tahun Ini Susulan Pelbagai Usaha Berterusan - MB

11/09/2025 02:57 PM

ISKANDAR PUTERI, 11 Sept (Bernama) -- Johor berada dalam landasan kukuh untuk merekodkan unjuran hasil negeri mencecah RM2.5 bilion tahun ini iaitu tertinggi dalam sejarah, sekali gus mengatasi rekod tertinggi antara RM1.5 bilion hingga RM1.7 bilion yang dicatat bagi tempoh 2015 sehingga 2021.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sasaran itu berupaya untuk dicapai susulan pelbagai usaha dan fokus pembangunan yang sedang dijalankan terutamanya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau berkata hasil negeri juga mula menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan secara konsisten sebanyak RM200 juta hingga RM300 juta setahun selepas tahun 2022.

“...pencapaian-pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi adalah hasil daripada perancangan rapi, pengurusan kewangan negeri yang lebih terperinci dan hasil usaha gerak kerja yang kita lakukan sebagai satu pasukan,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, menjawab pertanyaan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata dalam suku kedua tahun ini sahaja, Johor telah mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion yang telah meletakkannya di tangga tertinggi dari segi pelaburan langsung asing (FDI) negara.

“Tidak cukup dengan itu, buat kali pertama dalam sejarah, Johor merekodkan keluaran dalam negeri kasar (KNDK) 6.4 peratus pertumbuhan yang mengatasi purata nasional dan menjadikan Johor sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia pada tahun lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengumumkan 42 inisiatif yang akan memberi manfaat kepada 1.9 juta penerima dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM209 juta.

Beliau berkata peruntukan yang dijangka disalurkan bermula Oktober depan itu merangkumi 25 inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan 17 inisiatif merangkumi peningkatan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi serta kesejahteraan sosial.

Ia termasuk peruntukan RM1.72 juta kepada 132 masjid dan surau bagi Program Infaq Jumaat Johor untuk penyediaan makanan kepada masyarakat yang diilham dan diperkenan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Kesemua 56 DUN di negeri itu turut menerima RM100,000 bagi menghadapi Monsun Timur Laut dengan peruntukan RM5.6 juta dan RM13.7 juta bagi perluasan inisiatif Jualan Kasih Johor ke 252 lokasi yang akan memanfaatkan 1.3 juta rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan