GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Video premis makanan di medan selera sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas di sini yang tular sejak semalam kerana dipercayai menggunakan sijil halal bukan miliknya berlaku Julai lepas dan telah disebarkan semula.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui Bahagian Pengurusan Halal telah mengambil tindakan dengan menjalankan pemeriksaan pada 8 Julai lepas setelah menerima maklumat.
“Premis itu beroperasi di Tingkat 3, Queensbay Mall serta bukan premis makanan yang beroperasi di pasar raya LOTUS Sungai Dua.
"Pemeriksaan mendapati premis itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan tidak lagi mempamerkan salinan SPHM rumah sembelihan milik Nafas Food Processing dan Marketing Sdn. Bhd di premisnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan terhadap premis makanan di medan selera sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas, di sini yang tular videonya mendakwa kedai itu menggunakan sijil halal bukan miliknya.
Mohamad berkata pihak syarikat telah diberi peringatan supaya tidak mempamerkan sijil halal milik syarikat lain dan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Laporan pemeriksaan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pensijilan Halal Malaysia Negeri Pulau Pinang Bil. 11 Tahun 2025 pada 15 Julai lepas.
"Lanjutan daripada penularan semula video tersebut, JHEAIPP telah mengambil inisiatif segera membuat pemerikasaan sekali lagi bersama KPDN Pulau Pinang semalam di premis makanan tersebut yang beroperasi di Queensbay Mall dan juga premis yang beroperasi di Plaza Gurney.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada salinan SPHM milik syarikat lain atau milik syarikat rumah sembelihan dipamerkan dan tiada kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang maklumat sebelum menyebarkannya termasuk melalui media sosial dan pengesahan status halal boleh disemak melalui Portal Halal myehalal.halal.gov.my
Sebarang aduan berhubung penyalahgunaan logo halal atau SPHM boleh disalurkan kepada Bahagian Pengurusan Halal JHEAPP melalui talian 04-2505451 atau e-mel ehalal@penang.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial