SUKAN

MSN Mahu Umar Manfaat Kejohanan Dunia, Catat Masa Lebih Baik

11/09/2025 08:56 AM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pelari 400 meter kebangsaan Umar Osman, disaran memanfaatkan peluang beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo bulan ini untuk mencatat prestasi terbaik sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, berkata kejohanan berprestij yang berlangsung dari 13 hingga 21 Sept itu merupakan medan penting untuk menguji kemampuan Umar dalam memperbaiki catatan masa serta memastikan beliau berada dalam kelompok perebutan pingat, khususnya emas.

“Kita harap Umar dapat menggunakan kesempatan ini untuk mencatatkan pencapaian terbaik. Kita ingin melihat beliau mencatat masa di bawah 46 saat (s) supaya di Sukan SEA nanti dapat memastikan kedudukannya dalam kelompok pingat.

“Sebab ada beberapa pelari dari Thailand yang mempunyai catatan masa lebih baik daripada beliau. Jadi, kesempatan bertanding di Kejohanan Dunia ini menjadi platform untuk beliau bersedia menghadapi Sukan SEA nanti,” katanya ketika ditemui semalam.

Pencapaian terbaik Umar tahun ini adalah catatan masa 46.25s pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea, Mei lepas. Beliau juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400 meter dengan masa 46.09s.

Dalam perkembangan lain, Jefri berkata MSN belum membuat sebarang keputusan mengenai status kategori penyertaan skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara ke Sukan SEA, sama ada di bawah kategori A atau B, susulan keputusan diraih pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 2026 baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan