AM

KPKT Laksana Reformasi Pengurusan Sisa Lebih Berani Demi Malaysia Lebih Lestari

09/09/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) giat melaksanakan reformasi lebih berani bagi membina sistem pengurusan sisa yang lebih pintar, bersih dan lestari selaras dengan agenda ekonomi kitaran dan nyahkarbon Malaysia. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata sisa tidak lagi dianggap sebagai liabiliti sebaliknya sumber bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk pertumbuhan mampan.

“Misi kita jelas iaitu menukar sisa daripada sampah kepada wang, daripada dilihat sebagai beban kepada sumber yang menjana ekonomi kitaran dan rendah karbon bagi Malaysia.

“Kita sedang melaksanakan pembaharuan berani di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan seterusnya, dengan membina asas kepada sistem yang mampan, cekap serta memandang ke hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis Ulang Tahun Ke-20 Persidangan Tahunan Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM) 2025 di sini hari ini.

Nga berkata antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah menukar 20 peratus kenderaan pembersihan awam kepada model elektrik menjelang  2027, seiring dengan matlamat nyahkarbon negara.

Beliau turut menggariskan perluasan fasiliti Sisa-kepada-Tenaga (WTE), dengan jumlah loji dijangka bertambah kepada 18 di seluruh Semenanjung.

Selain itu, Nga berkata Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025-2035 akan mendigitalkan setiap peringkat pengurusan sisa daripada kutipan hingga kepada kitaran bagi menjadikan seluruh proses lebih cekap dan telus.

“Asas utama pelan induk ini ialah dasar Perluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang merupakan  pemangkin perubahan besar. Dasar ini meletakkan tanggungjawab di peringkat pengeluar bagi kitaran hayat produk dihasilkan mereka, selain menggalakkan inovasi dalam reka bentuk produk  dan mewujudkan peluang baharu dalam sektor kitar semula dan perniagaan hijau,” katanya.

Menekankan tentang pendekatan kerjasama Malaysia, Nga turut menyentuh kepentingan Prinsip 4P iaitu Kerjasama Awam-Swasta-Rakyat (People-Private-Public Partnerships) untuk memastikan bandar yang mampan dan masyarakat yang sejahtera.

Persidangan yang bertemakan “Pengurusan Sisa Pintar: Memanfaatkan Teknologi untuk Masa Depan Lebih Hijau” itu menghimpunkan delegasi antarabangsa, pemimpin industri dan penggubal dasar untuk bertukar penyelesaian dalam pengurusan sisa secara mampan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan