AM

Malaysia Lancar Pelan Tindakan Kebangsaan Pertama Mengenai Wanita, Keamanan Dan Keselamatan

09/09/2025 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan pertama mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS), sekali gus memperlihatkan komitmen negara untuk memperkasa agenda tersebut di peringkat nasional dan ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelan itu dibangunkan di bawah kepimpinan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama erat Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri serta agensi-agensi kerajaan berkaitan.

“Pelan ini mencerminkan komitmen tegas Malaysia dalam memperjuangkan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di seluruh ASEAN.

“Ia melengkapi Dasar Wanita Negara 2025–2030 serta menjawab seruan platform serantau dan antarabangsa, termasuk Jawatankuasa CEDAW, agar diwujudkan kerangka khusus yang menangani peranan, keperluan dan sumbangan wanita dalam keamanan dan keselamatan,” katanya.

Fadillah berucap pada majlis pelancaran NAP WPS 2025-2030 yang diadakan serentak dengan pembukaan Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan 2025 di sini, hari ini.

NAP WPS 2025-2030 yang julung kali diperkenalkan itu menggariskan peta hala tuju bagi memastikan wanita dilindungi, diperkasa serta dilibatkan dalam semua aspek berkaitan keamanan dan keselamatan.

Pelan itu mencerminkan usaha menyeluruh kerajaan dan masyarakat untuk membina Malaysia yang lebih selamat dan inklusif.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema ‘Ke Arah Komuniti ASEAN yang Inklusif dan Mampan’, Fadillah berkata Malaysia melihat agenda WPS sebagai sebahagian daripada visi yang lebih menyeluruh.

“Keterangkuman dan kemampanan tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya mustahil dicapai tanpa penyertaan penuh dan bermakna wanita dalam membentuk masyarakat berdaya tahan serta memacu pembangunan,” katanya.

“Inilah yang kami harap dapat diperkukuh bersama sepanjang tempoh Pengerusian Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya telah lama berusaha mengarusperdanakan semangat agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan dalam dasar serta program nasional.

Nancy turut menekankan kepentingan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan kerangka Wanita, Keamanan dan Keselamatan diintegrasikan sepenuhnya ke dalam strategi pembangunan nasional dan tindak balas bencana.

“Daripada memperkukuh perlindungan terhadap keganasan berasaskan gender, menyokong wanita sebagai pemimpin dalam ketahanan komuniti, sehinggalah mewujudkan ruang penyertaan wanita dalam membuat keputusan, usaha kita adalah untuk memastikan wanita bukan sahaja dilindungi semasa krisis tetapi juga diberdayakan sebagai agen keamanan dan kestabilan.

“Sebagai contoh dalam situasi banjir, bukan hanya lelaki yang terlibat, malah wanita juga hadir dan mereka perlu diwakili kerana wanita mampu dan sememangnya memainkan peranan penting dalam kecemasan sebegini,” katanya kepada media.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan