EKONOMI

209,033 Pekebun Kecil Persendirian Di Seluruh Negara Peroleh MSPO

09/09/2025 04:34 PM

KOTA KINABALU, 9 Sept (Bernama) -- Sebanyak 209,033 pekebun kecil persendirian di seluruh negara melibatkan 747,012 hektar tanaman sawit memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) sehingga 31 Ogos lepas.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu sebanyak 29,918 adalah pekebun kecil di Sabah, dengan keluasan 184,564 hektar.

Kenyataan itu memberitahu Kerajaan MADANI telah menyalurkan lebih RM2 juta peruntukan di daerah Pitas, Sabah bagi memperkukuh penyertaan pekebun kecil dalam rantaian minyak sawit mampan.

Pada program pemantapan MPSO di daerah itu semalam, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin menyampaikan cek cura RM713,322 kepada lapan penerima di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 melibatkan keluasan tanam semula sebanyak 39.63 hektar. 

TSPKS 2.0 adalah skim geran padanan mudah yang disediakan kerajaan melalui MPOB khusus untuk pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman di bawah 10 hektar. 

“Sehingga kini, sebanyak 707 permohonan bagi skim insentif itu, dengan keluasan 3,034.20 hektar telah diluluskan bagi negeri Sabah,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan MPOB akan terus menyalurkan khidmat sokongan dan panduan pensijilan minyak sawit mampan kepada pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara melalui rangkaian Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB.

Bagi memastikan penglibatan pekebun kecil sawit persendirian dalam arus perdana sektor agrikomoditi, MPOB menubuhkan 49 cawangan Pejabat TUNAS di seluruh negara dengan sokongan kira-kira 190 pegawai.

“Pejabat TUNAS MPOB juga menyediakan khidmat tunjuk ajar berkaitan Amalan Pertanian Baik (GAP), serta penanaman semula pokok sawit tua dan tidak produktif,” menurut kenyataan itu. 

MPOB turut menjelaskan penangguhan penguatkuasaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) sehingga akhir Disember 2025 memberi ruang kepada industri sawit Malaysia untuk memperkukuhkan pematuhan pensijilan kemampanan pasaran sawit negara di bawah Kesatuan Eropah (EU).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan