AM

Saifuddin Tinjau Persiapan Akhir AMMTC, Delegasi Mula Tiba Berperingkat

08/09/2025 06:05 PM

MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini meninjau persiapan akhir Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan di sebuah hotel di sini.

AMMTC ke-19 yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau serta membanteras jenayah berkaitan rentas sempadan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Saifuddin meluangkan masa hampir 30 minit meninjau persiapan mesyuarat termasuk diberi taklimat ringkas mengenai aspek penganjuran serta turut melawat pusat media, manakala pemimpin dan perwakilan daripada negara anggota ASEAN mula tiba secara berperingkat sejak 3 petang tadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan AMMTC ke-19 pada esok, yang turut menampilkan ucapan daripada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Saifuddin.

Perbincangan utama AMMTC ke-19 akan berlangsung pada Rabu dengan para menteri dan delegasi mengadakan dialog komprehensif merangkumi 24 agenda berkaitan jenayah rentas sempadan, manakala mesyuarat dua hala yang dijadualkan sepanjang hari itu memberi ruang kepada perbincangan antara negara anggota.

Menjelang Khamis pula, tumpuan beralih kepada rundingan bersama rakan dialog menerusi Konsultasi AMMTC+3 ke-15, Konsultasi AMMTC+China ke-12, Konsultasi AMMTC+Jepun ke-10 dan Konsultasi AMMTC+ROK ke-6, diikuti dengan acara simbolik penyerahan jawatan pengerusi daripada Malaysia kepada Filipina.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan