KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Program Memfail Dokumen yang Ditentukan di bawah Seksyen 22EB Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (ACAPL) 1990 melalui Malaysian Income Tax Reporting System (MITRS) telah dimuat naik menerusi portal rasmi HASiL bermula pada 1 Sept lepas.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan dokumen berkenaan boleh diakses dengan melayari portal rasmi HASiL www.hasil.gov.my.
Program ini berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran (TT) 2025 (asas tahun semasa) selaras dengan peruntukan baharu di bawah Seksyen 22EB ACAPL 1990 yang memerlukan pembayar cukai mengemukakan penyata keuntungan mengikut Seksyen 5 atau 10 ACAPL 1990.
"Pembayar cukai juga perlu memberikan maklumat serta mengemukakan dokumen sebagaimana ditentukan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri bagi tujuan menentukan keuntungan yang boleh dikenakan cukai dan cukai yang kena dibayar atau keuntungan bersihnya," menurut kenyataan itu hari ini.
Sebagai permulaan, dokumen di bawah Seksyen 22EB ACAPL 1990 yang perlu dikemukakan ialah penyata kewangan beraudit/akaun penyelesai, salinan resit pembayaran zakat – Seksyen 8A ACAPL 1990 (jika berkaitan) dan pengiraan lengkap insentif yang dituntut (jika berkaitan).
"Dokumen berkenaan perlu dikemukakan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sahaja dan jika disediakan dalam bahasa lain, terjemahan rasmi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris perlu disertakan," menurut kenyataan itu.
Semua dokumen perlu dibuat melalui aplikasi MITRS di portal MyTax menerusi pautan https://mytax.hasil.gov.my dalam tempoh 30 hari selepas tarikh akhir pengemukaan penyata keuntungan.
Pembayar cukai juga boleh melantik ejen cukai berlesen di bawah Seksyen 21C ACAPL 1990 bagi tujuan itu.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hasil Contact Centre melalui talian 03-8911 1000, HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial