KAHERAH, 7 Sept (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty pada Sabtu menegaskan semula bahawa lintasan Rafah, satu-satunya saluran antara Mesir dan Semenanjung Gaza, tidak akan digunakan sebagai laluan untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka, lapor Xinhua.
Dalam sidang akhbar bersama Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA), Philippe Lazzarini, Abdelatty menjelaskan bahawa “lintasan Rafah hanya untuk penghantaran bantuan, bukan pemindahan.”
“Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa rakyat Palestin mahu meninggalkan tanah mereka, sebaliknya mereka didorong oleh dasar kelaparan,” tambahnya.
Lazzarini bersetuju bahawa kebuluran di Gaza adalah ciptaan manusia, sambil menambah bahawa “amat sukar untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza melalui lintasan Rafah akibat halangan oleh Israel.”
Pegawai PBB itu menambah bahawa Mesir telah berusaha menghentikan kemerosotan keadaan di wilayah berkenaan, namun menyesali bahawa agensi PBB untuk pelarian Palestin tidak mempunyai alat yang diperlukan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan di Gaza.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu temu bual baru-baru ini mendakwa bahawa “separuh daripada penduduk mahu meninggalkan Gaza,” sambil menegaskan bahawa “ini bukan pengusiran besar-besaran.”
Kenyataan Netanyahu itu telah mengundang kecaman rantau itu. Jurucakap kerajaan Jordan Mohammad Momani pada Sabtu berkata Jordan tidak akan sesekali menerima pemindahan paksa rakyat Palestin.
Dalam satu catatan di platform media sosial X, Momani menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa melarang pemindahan paksa penduduk dari “wilayah yang diduduki,” sambil menyifatkannya sebagai “jenayah perang” dan “jenayah” terhadap kemanusiaan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial