AM

Zahid Ucap Tahniah, Malaysia Raih 13 Emas Di WorldSkills ASEAN

31/08/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan meraih 13 pingat emas pada pertandingan WorldSkills ASEAN Manila 2025 di Filipina, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata kejayaan itu turut disertai empat pingat perak, tiga gangsa dan dua Medallion for Excellence, pencapaian yang disifatkan sebagai hadiah bermakna sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-68.

“Inilah hadiah paling bermakna daripada anak muda TVET buat tanah air tercinta. Malaysia bukan sekadar melahirkan insan berjiwa merdeka, tetapi juga kompeten, berdaya saing dan bersedia memimpin masa depan. Kalian adalah kebanggaan negara,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan institusi terlibat, selain berharap pencapaian itu menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai belia untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang TVET.

Pertandingan dwitahunan itu menghimpunkan belia berkemahiran tinggi dari negara ASEAN bagi menguji kepakaran dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan