JENAYAH & MAHKAMAH

Kadar Residivis Bekas Banduan Catat 16 Peratus

03/09/2025 04:33 PM

KAJANG, 3 Sept (Bernama) -- Hanya 16 peratus kadar residivis atau jenayah berulang oleh bekas banduan seluruh negara direkodkan sepanjang tahun ini setakat ini, lebih rendah daripada standard antarabangsa yang ditetapkan pada kadar 20 peratus.

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Mohamad Rosidek Musa percaya ia membuktikan pelbagai program pemulihan disediakan oleh Jabatan Penjara berkesan, termasuk terapi muzik, pendekatan keagamaan, pendidikan kemahiran serta bengkel Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Akhirnya mereka (bekas banduan) mempunyai pekerjaan apabila keluar dari penjara. Pada kami itulah kejayaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 Peringkat Prospek Penjara Kajang bersama Persatuan Generasi Teras Madani di Penjara Kajang di sini hari ini.

Rosidek berkata pihaknya kini memperkasakan aspek pemulihan banduan melalui terapi muzik yang merupakan antara elemen pendekatan pemulihan di dalam Model Biopsikososial Spiritual Jabatan Penjara.

“Terapi muzik ini bukan perkara baharu, cuma kini digerakkan secara lebih terancang dan besar dengan penganjuran persembahan serta pertandingan.

"Begitu juga dengan terapi seni melalui lukisan, ia telah lama dilaksanakan. Inilah bukti bahawa program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia bukan sahaja menekankan aspek disiplin, tetapi turut memberi perhatian kepada dimensi emosi, mental dan rohani,” katanya.

Pada majlis itu, prospek turut menampilkan persembahan antaranya pantomim 'Peristiwa Bukit Kepong', deklamasi sajak dan nyanyian lagu patriotik.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Rosidek berkata Jabatan Penjara mencatatkan RM129,000 hasil jualan produk prospek menerusi Jualan Rahmah selama empat hari di Kompleks Penjara sempena Hari Kemerdekaan pada minggu lepas.

Beliau berkata jualan itu melibatkan pelbagai produk keluaran prospek termasuk kerepek, kain tenun dan barangan kraf tangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan