EKONOMI

Johor Perlu Ambil Peluang Terajui Ekonomi Industri Kreatif – Onn Hafiz

02/09/2025 06:54 PM

JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- Johor perlu mengambil peluang sebagai peneraju dalam Ekonomi Oren, yang merujuk kepada industri kreatif dan kebudayaan seperti media, reka bentuk, teknologi dan seni, bagi merangsang inovasi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta eksport, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz berkata aspirasi Johor itu sejajar dengan usaha nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang mengiktiraf Ekonomi Oren sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan masa depan negara.

“Apabila kita berbicara mengenai Ekonomi Oren, kita tidak lagi merujuk kepada industri pinggiran, sebaliknya ia kini menjadi teras daya saing negara,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN (ADCS) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata Johor ketika ini sedang giat membangunkan Ekonomi Biru dan Ekonomi Hijau menerusi inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), namun menekankan bahawa Ekonomi Oren juga mempunyai potensi yang setara.

Menjadikan Korea Selatan sebagai penanda aras, Onn hafiz berkata industri kandungan budaya negara itu kini dianggarkan bernilai lebih US$113 bilion (RM478 bilion), menyediakan lebih 600,000 peluang pekerjaan dan mencatatkan eksport melebihi US$12 bilion (RM50.77 bilion) setiap tahun.

Jepun turut mencatat kejayaan serupa dengan industri animenya dianggarkan bernilai US$19 bilion (RM80.37 bilion) dan dijangka berganda menjelang 2028, disokong oleh lebih 800 juta peminat di seluruh dunia.

Kandungan kreatif Asia, daripada drama dan muzik Korea hinggalah kepada anime Jepun, telah menjadi fenomena global arus perdana dalam tempoh kurang tiga dekad, setanding dengan Hollywood dan Eropah dari segi penonton, pendapatan serta pengaruh budaya, kata beliau.

Meskipun Asia dan ASEAN dianggap sebagai pendatang baharu dalam industri ini, Onn Hafiz berkata rantau ini perlu memanfaatkan populasi muda, keterhubungan digital dan warisan budaya yang kaya bagi meneroka sempadan pertumbuhan baharu.

Malaysia, katanya, telah mula mengorak langkah sebagai peneraju dalam sektor ini, dengan industri kreatif menyumbang secara signifikan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan guna tenaga menerusi filem, reka bentuk, permainan digital serta kandungan digital.

“Johor, sebagai pintu selatan Malaysia dan hab dinamik bakat serta inovasi, mempunyai segala kelebihan untuk mengorak langkah lebih jauh.

"Dengan melabur dalam pencerita, pereka, animator dan pemuzik kita, kita boleh membina ekosistem kreatif yang bukan sahaja menawarkan pekerjaan bernilai tinggi kepada belia, tetapi juga mengeksport identiti Johor ke persada dunia, seperti Korea dan Jepun,” katanya.

ADCS 2025 menghimpunkan lebih 3,000 profesional industri dari Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, sekali gus memperkukuh ekosistem digital ASEAN serta kedudukan rantau ini sebagai kuasa kreatif global.

Sidang kemuncak tiga hari itu yang dirasmikan oleh Onn Hafiz menampilkan lebih 10 pavilion negara termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Jepun, Kemboja dan Vietnam, 50 penceramah berwawasan serta lebih 100 pempamer inovatif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan