AM

Malaysia Menang Bidaan Tuan Rumah SIGGRAPH Asia 2026

02/09/2025 06:57 PM

JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- Malaysia menang dalam bidaan menjadi tuan rumah Persidangan Kumpulan Minat Khas mengenai Grafik Komputer dan Teknik Interaktif (SIGGRAPH) Asia 2026, satu daripada persidangan terbesar dunia dan paling berpestij dalam bidang grafik komputer dan teknik interaktif.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata acara itu yang akan diadakan di bawah Kerajaan MADANI, bakal mengukuhkan lagi ekosistem digital negara dan meletakkan ASEAN sebagai kuasa kreatif global.

“Di bawah Kerajaan MADANI, Malaysia komited sepenuhnya dalam menyokong industri (grafik komputer dan teknik interaktif) ini sebagai sebahagian daripada visi kami ke arah masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya saing. 

“Sebagai bukti komitmen ini, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa Malaysia telah memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah SIGGRAPH Asia 2026,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Kandungan Digital ASEAN (ADCS) 2025 di Persada Johor, di sini hari ini. 

Wilson berkata SIGGRAPH Asia 2026 dijangka menghimpunkan lebih 3,000 profesional industri tersebut dari Asia, Amerika Syarikat dan Eropah. 

Persidangan itu juga bakal membuka peluang baharu bagi kerjasama, inovasi dan pelaburan dalam sektor teknologi kreatif Malaysia yang sedang berkembang pesat.

SIGGRAPH Asia 2025 akan diadakan di Hong Kong pada Disember ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan