DUNIA

Rakyat Malaysia Di Amerika Syarikat Sambut Hari Kebangsaan Ke-68 Dengan Penghayatan

02/09/2025 02:35 PM

WASHINGTON, 2 Sept (Bernama) -- Semangat patriotisme, perpaduan dan kebanggaan terhadap warisan pelbagai budaya Malaysia menyerikan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Kedutaan Besar Malaysia di Washington, D.C., apabila rakyat Malaysia berhimpun bagi meraikan detik bersejarah negara.

Dalam kenyataan pada Selasa, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob memuji komuniti rakyat Malaysia di perantauan kerana terus membawa semangat Merdeka walaupun jauh dari tanah air.

Diplomat berpengalaman yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri itu memulakan tugasnya sebagai duta bulan lalu selepas dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata beliau amat tersentuh dengan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap tanah air yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di seluruh Amerika, sambil memuji semangat perpaduan yang kekal utuh walaupun jauh dari negara asal.

“Kemerdekaan adalah anugerah tidak ternilai - yang mengajar kita berdiri sendiri, berkembang, dan matang sebagai sebuah negara,” katanya.

Pernah berkhidmat sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, beliau berkata bahawa bagi rakyat Malaysia di luar negara, “Merdeka” adalah saat untuk merenung perjalanan negara dan memperbaharui ikatan dengan warisan budaya yang kaya dan berbilang.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia agar menjaga nama baik negara dengan menjadi warga yang patuh undang-undang serta dihormati di tempat mereka menetap, di samping menampilkan nilai kemajmukan Malaysia, etika profesional dan semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Ketika kita meraikan majlis bermakna ini, harapan tulus saya adalah agar kita dapat melihat sejauh mana perjalanan negara dan bergerak ke hadapan membina masyarakat Malaysia yang kukuh serta bersatu padu di bumi ini,” ujarnya.

Walaupun berlangsung pada hujung minggu yang panjang sempena Hari Buruh di Amerika, rakyat Malaysia termasuk pelajar dan keluarga dari New York, New Jersey dan Pennsylvania tetap hadir ke majlis berkenaan.

Acara dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian lagu Negaraku.

Koir Anak Warisan menyampaikan lagu patriotik Keranamu Malaysia yang mendapat tepukan gemuruh, diikuti bacaan ikrar Rukun Negara.

Selepas majlis rasmi, tetamu beramah mesra dengan duta dan isteri beliau, Puan Sri Izdina Izaidin serta pegawai kedutaan sambil menikmati juadah tradisional Malaysia termasuk nasi minyak, rendang daging, dalca dan pelbagai kuih tempatan.

Seorang tetamu, Timmothy Scott berkata beliau berasa bertuah dapat menghadiri sambutan Merdeka kali ini.

“Sebagai warga Amerika yang berkahwin dengan rakyat Malaysia, saya amat gembira dapat bertemu dengan kakitangan kedutaan dan para tetamu lain.

“Melihat ramai rakyat Malaysia berkumpul di satu tempat amat menyentuh hati dan memberi inspirasi. Layanan mesra pihak kedutaan serta hidangan makanan benar-benar mengagumkan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Naveena Govindasamy, rakyat Malaysia yang baru berpindah ke Virginia Utara dari California menyifatkan sambutan Merdeka pertama keluarganya di Kedutaan Malaysia sebagai “pengalaman luar biasa.”

Beliau berkata, majlis itu cukup bermakna buat anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Isabel Diya Theodore.

“Dia memakai baju kurung dan menikmati suasana meriah bersama diaspora Malaysia.

“Oleh kerana belum pernah merasai sambutan Merdeka di tanah air, pengalaman ini pasti menjadi kenangan istimewa buat keluarga kami. Kami amat menghargai sambutan mesra komuniti kedutaan,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran lebih 40 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kini menjalani latihan bersama Pengawal Pantai Amerika Syarikat.

Pegawai Kanan APMM, Komander (M) Mohd Fahimi bin Omar, berkata meraikan Hari Kebangsaan di luar Malaysia buat kali pertama amat mengujakan apabila melihat semangat patriotisme rakyat Malaysia di Amerika.

Beberapa pegawai Tentera Laut dan Tentera Darat Malaysia yang melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional di Washington juga hadir memeriahkan majlis.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan