AM

Program MADANI Rakyat Di Kedah Dijangka Tarik Kehadiran 25,000 Pengunjung

02/09/2025 08:23 PM

ALOR SETAR, 2 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) yang bakal menyantuni rakyat Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling bermula Khamis hingga Sabtu ini menyasarkan kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung.

Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KDN Ainah Mohd Soon berkata penganjuran PMR kali ini, yang diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan aktiviti menarik.

Beliau berkata antara aktiviti itu termasuk pameran aset-aset agensi keselamatan di bawah KDN serta demonstrasi pasukan keselamatan.

“Kami juga bawakan perkhidmatan yang ada di bawah agensi KDN antaranya permohonan pas sempadan dan penggantian pasport di bawah Jabatan Imigresen Malaysia dan penggantian MyKad di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

“PMR kali ini turut menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus, Jualan Produk Jabatan Penjara Malaysia (MyPride), Program Jom Exchange Al-Qur’an (JEQ) dan pameran Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu, Ainah berkata turut diadakan ialah perkhidmatan bergerak dan jualan produk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta forum perdana dan selawat bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

“Kemuncak program adalah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan merasmikan program itu pada Sabtu, yang juga akan menampilkan persembahan demonstrasi istimewa daripada pasukan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke program tiga hari itu bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan serta menyaksikan aktiviti menarik yang disediakan.

“Selain daripada agensi di bawah KDN, ada juga pameran daripada agensi kerajaan yang lain termasuk di peringkat negeri yang kami jemput untuk memeriahkan lagi PMR kali ini,” katanya.

Sementara itu, KDN menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik menanti orang ramai di reruai kementerian itu antaranya perkhidmatan Bas MEKAR JPN, pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP), Perkhidmatan Khidmat Nasihat Sistem Digital e-ROSES serta Khidmat bakti RELA MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan