KUANTAN, 27 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 17 wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah premis di Temerloh, Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang Nursafariza Ihsan berkata kesemua wanita berusia 23 hingga 50 tahun memiliki pas lawatan sosial (PLS) tamat tempoh itu diselamatkan kira-kira pada 10 malam selepas pihaknya menyerbu premis berkenaan.
Beliau berkata turut ditahan dalam operasi itu seorang lelaki dan wanita tempatan berumur 60-an masing-masing dipercayai sebagai pemilik agensi serta penjaga kepada semua mangsa.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang telah ditentukan oleh sindiket dengan bayaran antara RM120 hingga RM150 sehari.
“Pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu akan menghubungi agensi terbabit, dengan menetapkan tarikh dan waktu bekerja yang akan diatur termasuk menghantar serta mengambil mereka setelah selesai bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nursafariza memaklumkan sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi lebih dua tahun dan mengaut keuntungan melebihi RM500,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.
Kesemua mangsa katanya tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket itu dan kebebasan mereka turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga di negara asal.
Selain itu, kadar bayaran harian diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan pihak agensi.
Sementara itu, beliau berkata JIM Pahang turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai digunakan untuk membawa mangsa, wang tunai RM10,570, pelbagai dokumen dan 87 pasport Indonesia serta 52 unit telefon bimbit milik mangsa yang disimpan serta dikawal oleh penjaga premis.
Operasi berkenaan turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Penunjuk Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
“Buat masa ini mangsa pemerdangan itu ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum tindakan selanjutnya manakala warga tempatan pemilik agensi pekerjaan dan penjaga direman tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata siasatan dijalankan antaranya mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial