AM

RUU Pekerja Gig Langkah Progresif, PPRPM Sokong Penuh

27/08/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyatakan sokongan padu terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama Isnin lepas. 

PPRPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan RUU itu merupakan langkah progresif yang akan membawa pelbagai manfaat kepada pekerja gig khususnya rakan penghantar yang sentiasa terdedah kepada bahaya di jalan raya.

“Kami percaya RUU ini adalah satu langkah ke hadapan dalam menjamin kebajikan dan kesejahteraan pekerja gig. Ia bukan sahaja melindungi hak-hak pekerja, tetapi juga menggalakkan amalan pengurusan buruh yang terbaik dan meningkatkan kredibiliti syarikat,” menurut kenyataan itu.

PPRPM turut memaklumkan kenyataan media oleh beberapa persatuan yang mendakwa pihaknya sebagai anti-RUU itu adalah kurang tepat.

“RUU ini menjadikan perlindungan sosial mandatori dan lebih mudah dikuatkuasakan. Ia juga mengubah sistem pembayaran caruman kepada ‘postpaid’, yang bermaksud perlindungan diperoleh sebelum pembayaran dibuat.

“Kadar caruman juga lebih mampu milik, iaitu RM0.0125 bagi setiap RM1 pendapatan. Ini adalah satu berita baik bagi semua rakan penghantar,” menurut kenyataan itu.

PPRPM memaklumkan RUU itu juga bermanfaat dalam aspek hak pendapatan yang jelas dengan mewujudkan majlis bersama tiga pihak atau tripartite council yang rasmi, dengan pekerja dan majikan akan bersama-sama menentukan kadar bayaran sekali gus memberikan suara kepada pekerja dalam isu upah di samping melarang majikan daripada memotong pendapatan secara sewenang-wenangnya.

Selain itu, persatuan berkenaan turut menyentuh tentang mekanisme penyelesaian pertikaian menerusi proses yang jelas dengan penubuhan Tribunal Pekerja Gig berbanding ketiadaaan hak dalam pertikaian industri sebelum ini. 

“RUU itu juga memberikan definisi yang jelas kepada pekerja gig, yang tidak wujud dalam Akta Kerja 1955 dan akan memberikan perlindungan perburuhan asas kepada pekerja gig,” katanya.

PPRPM memaklumkan diharapkan RUU yang sangat penting itu diluluskan dan sebarang pindaan lanjut dapat dibuat melalui pindaan atau peraturan tambahan termasuk keperluan sistem pengguna yang telus bagi menunjukkan pengiraan dan cara pembayaran bagi setiap perjalanan.

“Ia bukan sahaja melindungi hak-hak pekerja, tetapi juga menggalakkan amalan pengurusan buruh yang terbaik dan meningkatkan kredibiliti syarikat,” menurut kenyataan itu dan PPRPM berharap agar rakan-rakan penghantar akan mendapat jaminan perkhidmatan yang lebih selamat, konsisten, stabil, dan beretika. 

RUU Pekerja Gig 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin lepas oleh Kementerian Sumber Manusia dan merangkumi empat aspek utama mengenai definisi rasmi bagi pekerja gig, peraturan berkaitan pendapatan dan kadar bayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian serta langkah perlindungan sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan