KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh naratif perpaduan dan menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan menerusi kandungan yang disiarkan di semua platform medianya.
Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, Bernama sentiasa komited menyokong agenda negara dengan mengetengahkan laporan serta program berkaitan perpaduan dan kenegaraan.
“Saya percaya apabila kita mengangkat naratif yang menyemarakkan semangat perpaduan, ia akan secara langsung terpupuk dalam diri kita.
“Ini yang dapat saya saksikan hari ini apabila penyertaan warga Bernama dalam pengisian sambutan Hari Kebangsaan amat menggalakkan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Bernama di Wisma Bernama, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj serta pengurusan tertinggi agensi berita itu.
Nur-ul Afida berkata sambutan itu membuktikan tahap patriotisme tinggi dalam kalangan warga kerja yang berjaya menerjemahkan semangat cintakan negara melalui kreativiti dan kerjasama erat bagi menjayakan persembahan serta pertandingan bertema kemerdekaan.
“Bukan mudah untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini, apatah lagi sempena Bulan Kebangsaan. Saya amat seronok dengan tahap patriotisme tinggi yang ditunjukkan semua petugas. Ia mengingatkan kita supaya sentiasa mencintai negara dan menghargai kemerdekaan yang dicapai sejak 68 tahun lalu,” katanya.
Beliau turut menyeru generasi muda agar terus menghayati erti kemerdekaan dengan penuh rasa bangga melalui pelbagai pendekatan.
“Yang penting kita tahu kita warga Malaysia dan harus menyanjungi Jalur Gemilang. Jaga bendera kita dan sama-sama raikan sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad ini,” katanya.
Dalam Pertandingan Pentas Merdeka Antara Jabatan, Pasukan Pejabat KPE dinobatkan sebagai juara persembahan terbaik dan membawa pulang wang tunai RM1,000, diikuti Jabatan Pengarang di tempat kedua (RM800) dan Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan di tempat ketiga.
Bagi pertandingan pakaian terbaik, Penolong Eksekutif Unit Teknikal dan Operasi Aizuddin Azali diumumkan johan dengan hadiah wang tunai RM500, manakala naib johan dimenangi Eksekutif Editorial Bahagian Perhubungan Media dan Pengurusan Acara, Vivie Emirza Eka Mohamad Suliman (RM300), dan tempat ketiga diraih Eksekutif Kanan Khidmat Pelanggan Unit Pemasaran Foto, Hamdanawal Muhamad Sukri (RM200).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial