AM

KPM Jalan Siasatan Dalaman, Teliti Kes Pelajar Jatuh Asrama Sekolah - Fadhlina

26/08/2025 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah sekolah di Sabak Bernam berikutan kejadian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah terbabit.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Saya mengambil perhatian kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini. Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital.

“Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini. KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku buli. Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli,” katan Fadhlina menerusi hantaran Facebook hari ini.

Sebagai langkah segera, Fadhlina berkata KPM akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.

Fadhlina turut menyampaikan doa agar pelajar terbabit diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian iitu. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam dan kertas siasatan telah di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan