SEPANG, 26 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi memudah cara operasi kawalan sempadan secara bersama (co-located) projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari 2026, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, RUU itu penting bagi memastikan kelancaran operasi selepas Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa Bukit Chagar, Johor, dan Woodlands North, Singapura, menjadi lokasi bersama stesen kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) bagi RTS Link.
“Malaysia dan Singapura telah bersetuju menjadikan Bukit Chagar sebagai stesen co-located CIQ di sebelah Malaysia, manakala Woodlands North di pihak Singapura. RTS Link akan beroperasi secara rasmi pada Januari 2027.
“Tanpa undang-undang baharu, kita perlu meminda 37 akta sedia ada yang saling berkaitan. Justeru, pilihan terbaik ialah mewujudkan RUU baharu yang mengambil kira semua peruntukan berkaitan. Kita hanya ada ruang (‘window’) pada sidang Parlimen Februari tahun depan untuk membentangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, Di Persada Kita Bermaruah, inisiatif Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.
Projek RTS sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027.
Sistem pengangkutan rel itu mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan anggaran 40,000 penumpang sehari.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata setakat Julai tahun ini, seramai 17,658 warga asing dikenakan notis penolakan masuk atau not to land oleh AKPS atas pelbagai sebab, dengan 13,790 daripadanya tiba di KLIA.
“Sehingga Julai tahun ini juga, nilai rampasan barangan larangan dan tanpa permit yang ditahan AKPS di pintu masuk negara berjumlah RM1.9 juta,” katanya.
Beliau menambah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memperincikan pewujudan skim perkhidmatan baharu AKPS.
“Skim ini akan memperkukuh lagi aspek operasi dan pengurusan AKPS sebagai agensi tunggal kawalan sempadan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial