AM

Penggalian Semula Kubur Pelatih PALAPES Secepat Mungkin - Saifuddin Nasution

26/08/2025 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai akan dilaksanakan secepat mungkin, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi komitmen penuh bagi melaksanakan proses itu susulan perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

“Ia adalah proses serius yang melibatkan majistret, keluarga dan doktor, sebelum mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut oleh pasukan perubatan. 

“Tugas polis adalah memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan, seperti dalam kes adik Zara (Zara Qairina Mahathir), polis segera membantu dalam tempoh beberapa jam,” katanya pada Dialog Khas Ke-3 PDRM 2025 di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan jenazah Syamsul Haris, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibunya Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Beliau turut mengarahkan seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur menjalankan bedah siasat semula dalam tempoh 14 hari selepas mayat dikeluarkan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan penggunaan MyDigital ID bagi melindungi data peribadi rakyat.

Beliau berkata sistem pengesahan identiti tunggal itu akan menjadi alternatif kepada MyKad dalam urusan rasmi sektor awam dan swasta.

Menurut Saifuddin Nasution, ketika ini pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara 1959 sedang dilaksanakan di Parlimen bagi membolehkan ia dilaksanakan.

“Selepas ini, rakyat hanya memerlukan satu log masuk untuk semua urusan. MyDigital ID akan memastikan transaksi dengan bank, polis, insurans atau JPJ lebih selamat tanpa perlu menukar nama pengguna dan kata laluan,” katanya.

Beliau berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menyasarkan 13 juta pendaftaran MyDigital ID menjelang akhir tahun ini, dengan 3.8 juta telah mendaftar setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan