JOHOR BAHRU, 26 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menzahirkan penghormatan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti itu, Syamsul Haris Shamsudin, digali semula bagi tujuan siasatan lanjut.
UTM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menghormati sepenuhnya proses perundangan yang sedang berlangsung dan komited memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berwajib.
“Pada masa yang sama, universiti menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap keluarga Allahyarham dan akan terus menyediakan sokongan kaunseling, bantuan psikososial serta bimbingan kebajikan kepada keluarga dan warga kampus yang terkesan,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur Allahyarham yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial