AM

Pengesanan Gempa Bumi Antara Elemen Dalam Agenda Bandar Pintar Johor - Exco

25/08/2025 02:53 PM

JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- Elemen pengesanan bencana termasuk gempa bumi akan menjadi sebahagian daripada petunjuk pembangunan Smart City (Bandar Pintar) Johor pada masa hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata sistem amaran awal bencana melalui telefon pintar sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pelan Smart City negeri.

“Sistem ini sudah digunakan di Jepun dan Korea Selatan, iaitu penduduk dalam radius tertentu akan menerima mesej kecemasan sekiranya berlaku bencana seperti gempa bumi, kebakaran atau kemalangan. Kita mahu bawa perkara ini dalam petunjuk Smart City Johor,” katanya.

Mohd Jafni berkata demikian selepas mengumumkan penganjuran Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Sept ini dengan penyertaan lebih 40 pempamer termasuk pemain industri dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Johor kini, katanya memiliki 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam pelaksanaan Smart City, dengan tujuh PBT berada pada Tahap 1 (Smart City Early Adopter), manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada Tahap 2.

Mohd Jafni berkata walaupun Malaysia terletak di kawasan tektonik stabil, kejadian gempa bumi lemah seperti yang berlaku di Segamat semalam menunjukkan perlunya sistem pemantauan dan amaran awal lebih baik.

“Kerajaan negeri akan memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan rakyat. Jika ada keperluan memasang peralatan tambahan di kawasan berisiko, kita akan laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

 JSCF 2025 akan menjadi platform bagi seluruh negeri di Malaysia berkongsi pengalaman serta inisiatif pembangunan bandar pintar masing-masing.

Buat pertama kali, JSCF 2025 turut membuka penyertaan negara ASEAN dan antarabangsa sebagai peserta serta pempamer dengan setakat ini, penglibatan telah disahkan daripada Korea Selatan, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan