AM

JSH Hospital Pertama Di Malaysia Guna Sistem Visualisasi Robotik Terkini Untuk Pembedahan Saraf 

25/08/2025 10:36 PM

JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- Johor Specialist Hospital (JSH) sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) muncul hospital pertama di Malaysia yang menggunakan Sistem Visualisasi Robotik ZEISS KINEVO 900 S untuk pembedahan saraf.

Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata sistem itu digunakan dalam tiga bidang khusus, iaitu pembedahan saraf, pembedahan tulang belakang dan gabungan pembedahan mikro endoskopik. 

Beliau berkata kemajuan teknologi itu memperkukuh perkhidmatan subkepakaran dan menawarkan akses kepada pilihan rawatan lanjutan yang lebih meluas buat pesakit.

“Setiap langkah yang diambil berpandukan komitmen kami terhadap Care for Life. Dengan melahirkan generasi pakar untuk masa hadapan agar pesakit menerima rawatan yang berkualiti serta berteknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pakar Bedah Saraf Dr Sharon Casilda Theophilus dan pasukannya baru-baru ini, menjalankan prosedur invasif minimum yang menggabungkan sistem baharu itu untuk membuang ketumbuhan pada bahagian kiri tengkorak seorang pesakit.

Beliau berkata prosedur berkenaan yang dijalankan bersama Pakar Bedah Saraf Dr Ahmad Khan, menggabungkan sistem robotik itu dengan platform navigasi pembedahan untuk membantu dalam visualisasi dan pemanduan alat pembedahan.

“Sistem itu memberi kami pandangan yang jelas serta kawalan lebih kukuh dalam pembedahan yang rumit. Ia menjadi platform berharga untuk membimbing dan melatih generasi baharu pakar bedah saraf,” katanya.

Sistem visualisasi robotik itu menyediakan paparan imej 4K tiga dimensi untuk rujukan bersama pakar bedah dan pasukan mereka dalam masa sebenar sekali gus meningkatkan mutu kerjasama dan latihan serta ia amat berguna untuk prosedur yang rumit.

“Ia turut membantu dalam prosedur otak, termasuk pembaikan aneurisme, tumor pituitari dan pembedahan pangkal tengkorak selain membolehkan penyasaran bagi biopsi dan rangsangan otak dalam, penempatan skru tulang belakang serta pembetulan kecacatan,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan teknologi canggih berkenaan, memperkukuh subkepakaran dan memajukan pembangunan pusat kecemerlangan sebagai sebahagian transformasi KPJ Health System yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, penyelidikan dan pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan