KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini menyeru agar suara dan pandangan wanita Malaysia diiktiraf dan mereka mengambil bahagian sepenuhnya dalam penggubalan dasar.
Dalam titah ucapan pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-64, Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia berada pada kedudukan ke-103 daripada 146 negara dalam Indeks Jurang Gender Global Forum Ekonomi Dunia pada 2022 manakala Singapura berada pada kedudukan ke-49, diikuti Thailand pada kedudukan ke-79 dan Indonesia pada kedudukan ke-92.
“Sekiranya wanita Malaysia mahu benar-benar dihargai dalam pembinaan negara, kita perlu mengejar negara jiran dan kita perlu membuktikan bahawa suara dan pendapat kita didengari pada peringkat tertinggi, dan bahawa wanita terlibat dalam penggubalan dasar dan semestinya dalam semua keputusan,” titah Raja Permaisuri Agong di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah menghargai wanita dalam pembinaan negara adalah tentang memastikan suara mereka didengari.
Walaupun mengakui usaha kerajaan kini untuk mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan mampan, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan.
“Bagaimanapun kita masih mempunyai banyak cabaran mendatang dan banyak yang perlu dilakukan apabila kita membincangkan mengenai wanita dalam pembangunan negara,” titah Raja Permaisuri Agong.
Seri Paduka Baginda menekankan bahawa kepimpinan tidak ditentukan oleh gender tetapi dari segi kemampuan untuk mendidik dengan wawasan, kasih sayang dan ketahanan.
Raja Permaisuri Agong bertitah wanita di negara ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk negara melibatkan seluruh sektor kehidupan, daripada rumah kepada barisan kepimpinan kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan masyarakat sivil.
Bagaimanapun, Raja Zarith Sofiah mendapati bahawa wanita masih kurang diwakili dalam bidang akademik dan profesional dan daripada pengalaman Seri Paduka Baginda sendiri, kebanyakan peserta di seminar ialah lelaki dengan sangat sedikit wanita dijemput untuk mengambil bahagian.
“Pandemik COVID-19 menunjukkan jurang sosial sedia ada jauh lebih besar dan mendedahkan jurang yang mendalam serta ketidaksamaan yang menghalang pertumbuhan ekonomi inklusif.
“Profesional kesihatan wanita, pendidik, sukarelawan dan petugas lain yang berdiri di barisan hadapan bukan sahaja menyelamatkan nyawa tetapi menjaga dan menyatukan keluarga dan masyarakat.
“Ramai yang mengalami kelesuan mental dan fizikal manakala laporan tentang keganasan rumah tangga juga semakin meningkat,” titah Raja Permaisuri Agong.
Raja Zarith Sofiah turut merakamkan penghargaan kepada srikandi-srikandi yang berbakti setiap hari termasuk wanita yang membesarkan anak, menjaga orang tua, mendidik generasi akan datang dan memastikan keluarga mereka mendiami rumah yang selesa, sambil menyatakan walaupun nama mereka mungkin tidak tercatat dalam buku sejarah, mereka merupakan tonggak sebenar negara.
“Marilah kita menghormati dan menghargai wanita bukan sahaja pada Hari Wanita tetapi setiap hari, menerusi dasar dan tindakan kita,” titah Seri Paduka Baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial