AM

"Mobile Reproalert" Beri Pendidikan Reproduktif, Cegah Masalah Sosial

24/08/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pengenalan Mobile ReproAlert, sebuah kenderaan bergerak interaktif bertujuan memberi pendidikan kesihatan reproduktif, dalam usaha mencegah isu sosial seperti kehamilan tidak dirancang dan penyakit jangkitan seksual. 

Mobile ReproAlert yang merupakan inisiatif Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Yayasan Sime Darby (YSD), menampilkan pendekatan “turun padang” melalui kenderaan bergerak interaktif dilengkapi paparan multimedia, bahan rujukan mesra remaja serta ruang kaunseling sulit. 

Ketua Pegawai Eksekutif YSD Dr Yatela Zainal Abidin berkata Mobile ReproAlert akan mendekati sekolah, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan komuniti luar bandar di seluruh negara bagi menangai pelbagai maslah sosial yang timbul. 

“Lebih 4,000 kes kehamilan remaja direkodkan setiap tahun di Malaysia dengan ramai yang tercicir daripada sekolah. Ini bukan sekadar isu kesihatan, ia isu pendidikan, peluang hidup dan masa depan generasi muda kita,” katanya.

Yatela berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran I-Medik–YSD Mobile ReproAlert di sini hari ini yang dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata Mobile ReproAlert menyediakan kaunseling bergerak dan ruang selamat khusus untuk remaja, sekali gus menyokong usaha jangkauan komuniti yang dilaksanakan oleh I-Medik.

Selain itu, Yatela berharap agar program sokongan tersebut akan memperkasakan remaja untuk membuat pilihan bijak dan membina keyakinan diri mereka, di samping memperluas pengetahuan kesihatan reproduktif dalam kalangan ibu bapa.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri menyatakan kesedihan terhadap laporan mengenai remaja yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan gaya hidup tidak sihat, gejala sosial dan kesihatan mental.

“Tuntutan masa kini yang memerlukan kedua-dua ibu bapa bekerja menyukarkan pemantauan berkesan. Inisiatif Mobile ReproAlert ini, usaha terpuji yang perlu disokong agar manfaatnya sampai kepada setiap golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau yakin lebih ramai remaja akan mendapat bantuan melalui inisiatif ini, sekali gus meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyuarakan harapan agar isu kesihatan dan pendidikan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak mendapat perhatian khusus dalam Belanjawan 2026, sebagai mana hasil sesi libat urus dengan komuniti setempat, hari ini.

“Sesi libat urus ini amat penting kerana belanjawan negara perlu berpaksikan keperluan rakyat yang memahami realiti sebenar di kawasan mereka. Pembangunan insan juga harus menjadi keutamaan kita,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata melalui sesi tersebut, maklum balas diperoleh daripada komuniti tanpa mengira usia, bagi memastikan pihak perangka belanjawan memahami keperluan sebenar penduduk tempatan.

Beliau turut menekankan kepentingan isu infrastruktur dalam memastikan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat.

“Kita mahu tingkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan kehidupan selain memastikan tatakelola yang baik bagi memastikan setiap sen yang digunakan adalah untuk kebaikan bersama,” katanya.

Menurut Takwim Parlimen, Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan