AM

Agensi Antirasuah Kenya Berhasrat Jalin Kerjasama Dengan SPRM

19/08/2025 09:47 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Ethics and Anti-Corruption Commission (EACC) iaitu agensi antirasuah Kenya berhasrat menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelbagai bidang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata agensi itu berminat untuk bertukar pengetahuan dan amalan terbaik dalam strategi antirasuah, tatakelola dan operasi institusi.

Beliau berkata hasrat itu dinyatakan ketika menerima kunjungan delegasi EACC di ibu pejabat SPRM di sini hari ini yang diketuai Pesuruhjaya EACC Dr Cecilia Mutuku.

"Ia (kunjungan) juga memberi peluang kepada delegasi EACC untuk memperoleh pemahaman mendalam mengenai struktur organisasi dan model operasi SPRM serta program latihan ditawarkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata SPRM juga dapat memperkukuh kerjasama selain meneroka potensi jalinan strategik masa hadapan antara EACC dan SPRM dalam usaha memerangi rasuah.

Antara pengisian lawatan delegasi itu termasuk sesi perkongsian pengalaman, lawatan fasiliti, lawatan ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan pejabat SPRM Kuala Lumpur serta perbincangan berkaitan pencegahan dan pembangunan profesional. 

"Secara keseluruhan, lawatan ini bertujuan meningkatkan keupayaan institusi dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kenya dalam inisiatif antirasuah," katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Rasidah Abdul Karim, Pengarah Direktorat Perkhidmatan Undang-Undang (EACC) David K Too dan beberapa anggota pengurusan tertinggi EACC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan