AM

RXZ Members 7.0: JPJ Tumpu Usaha Advokasi, Permudah Pergerakan Peserta

21/08/2025 11:46 AM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tumpuan usaha advokasi, pendidikan keselamatan jalan raya serta memudahkan pergerakan peserta program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata JPJ menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim serta penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat.

“Program berimpak tinggi ini bukan sahaja menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negara, bahkan menjadi platform strategik untuk mengangkat imej budaya permotoran ke tahap yang lebih positif.

“Sehubungan itu, JPJ akan terus menumpukan usaha kepada advokasi, pendidikan keselamatan jalan raya serta memudahkan pergerakan para peserta bagi memastikan kelancaran program tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025, sekali gus mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata semua peserta diseru mematuhi undang-undang jalan raya dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penganjur demi menjamin kelancaran serta keselamatan peserta program ini.

“Semoga penganjuran ini bukan sahaja menjadi manifestasi budaya permotoran yang harmoni, malah turut memperkukuh perpaduan nasional dan menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam semangat Bulan Kebangsaan, beliau berkata JPJ turut menyokong seruan Perdana Menteri agar seluruh peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan kepada tanah air.

Katanya, JPJ akan mengagihkan sebanyak 3,000 topi keledar melalui pelaksanaan Program Pertukaran Topi Keledar kepada pengunjung terawal, sebagai simbol usaha bersama dalam meningkatkan budaya pematuhan keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.

“Sebagai agensi utama dalam bidang pengangkutan jalan, JPJ terus memperteguh komitmen mendukung agenda Kerajaan MADANI ke arah membina budaya permotoran yang positif, selamat serta berdaya maju, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan