ALOR SETAR, 18 Ogos (Bernama) -- Inovasi bukan hanya terhad kepada penghasilan produk baharu atau teknologi, malah merangkumi model perniagaan yang berperanan penting dalam memperkasakan dan memajukan sesuatu perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata sesetengah produk tidak dapat diubah suai agar lebih berdaya saing, namun penggunaan model perniagaan yang berkesan seperti cara mengurus, menjual dan menghubungkan pelanggan mampu meningkatkan pasaran produk terbabit.
“Contohnya pembuatan tanjak. Banyak tempat menghasilkan tanjak dengan reka bentuk yang hampir sama kerana mungkin mereka belajar daripada guru yang sama. Ada reka bentuk tertentu yang dikaitkan dengan darjah kebesaran, jadi ia tidak boleh diubah suai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau bengkel pembuatan tanjak di Kampung Telaga Tengah, Mukim Gunong dekat sini, sempena Program Jejak Inovasi Zon Utara hari ini.
Sharmila berkata bagi mengangkat perusahaan ke tahap lebih tinggi, YIM bersedia membantu pengusaha mengenal pasti ruang inovasi yang boleh dimanfaatkan dengan menghubungkan mereka bersama inovator, termasuk daripada institusi pengajian tinggi di kawasan sekitar.
“Kita akan sediakan penyelesaian dalam ekosistem kita. Sekiranya tiada, kita akan libatkan juga penyelidik tempatan. Contohnya di Kedah, kita boleh bertanya kepada Universiti Utara Malaysia sama ada mereka ada penyelesaian sesuai untuk isu yang timbul,” katanya.
Beliau berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YIM akan terus memperkukuh peranannya memacu inovasi akar umbi melalui pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang menyasarkan pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan.
Sementara itu, sempena Program Jelajah Inovasi hari ini, YIM turut menganjurkan pertandingan Youth Innovative Challenges (YIC) di Universiti Antarabangsa Albukhary, yang menyasarkan produk ciptaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada peringkat diploma hingga sarjana muda.
YIC kali ini disertai wakil daripada Kolej Komuniti Langkawi, Kolej Vokasional Alor Setar, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam, Universiti Sains Malaysia dan UniKL Malaysian Spanish Institute.
Muhammad Hakim Hazrul Izwan dari Kolej Komuniti Langkawi dinobatkan johan pertandingan YIC menerusi ciptaan Caramel Macchiato Gamat Coffee, naib johan disandang Hanif Safwan Basirun dari Kolej Vokasional Alor Setar (Automated Fertigation System) manakala Nur Fajihah Saad dari Politeknik Sultan Abdul Halim Shah di tempat ketiga (Pintu Kunci Air Dwifungsi Bagi Saliran Air di Kawasan Pertanian).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial