AM

FINAS Salur Dana Lebih RM2 Juta Bantu Penerbit Sarawak Pasarkan Karya Kreatif

18/08/2025 03:29 PM

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menyalurkan dana bernilai lebih RM2 juta kepada penerbit di Sarawak bagi memastikan karya kreatif tempatan dapat dipersembahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, RM1.55 juta disalurkan di bawah Dana Program TV Borneo, RM421,000 bagi Dana Pasca Produksi dan RM139,000 untuk Dana Pemasaran dan Pemameran.

"Selain itu, ia bertujuan memperkaya kandungan siaran tempatan serta memacu kerjasama strategik antara penggiat industri dan stesen penyiaran, di samping mengetengahkan identiti tempatan melalui karya kreatif berkualiti tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Dana Kandungan Kreatif (DKK) di pejabat FINAS Sarawak di sini hari ini.

Pada majlis itu, lapan syarikat produksi Sarawak menerima SST Dana Program TV Borneo untuk menghasilkan telemovie atau telefilem berdurasi 90 minit yang bakal ditayangkan sama ada di RTM atau stesen televisyen swasta dalam tempoh setahun.

Lapan syarikat produksi berkenaan ialah Sahabat Qitmir Sdn Bhd, Broad Vision Solutions Sdn Bhd, Lightcube Studio Sdn Bhd, Reka Dinamik Sdn Bhd, Pixbugs Film Sdn Bhd, Ensyio Crates Sdn Bhd, Spektrum Cahaya Sdn Bhd dan Apro Prima Sdn Bhd.

Teo berkata selain Dana Program TV Borneo, FINAS turut menyalurkan Dana Pasca Produksi kepada tiga penerbit dari Sarawak, manakala seorang penerbit lagi menerima bantuan di bawah Dana Pemasaran dan Pemameran.

Beliau berkata kewujudan kategori khas Borneo (Sabah dan Sarawak) itu membolehkan penerbit menghasilkan karya bukan sahaja dalam bahasa kebangsaan tetapi juga menggunakan bahasa etnik tempatan, sekali gus menonjolkan warisan budaya negeri berkenaan.

“Ini bagi memastikan karya tempatan bukan sahaja dapat dipersembahkan di peringkat nasional tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan