JENAYAH & MAHKAMAH

Konstabel Maut Dilanggar Pemandu Mabuk

18/08/2025 04:51 PM

SEREMBAN, 18 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Temiang berhampiran Sekolah Kebangsaan Temiang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata dalam kejadian 1.01 pagi itu, anggota berpangkat konstabel berusia 23 tahun yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell itu mengalami kecederaan parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) kira-kira sejam kemudian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang bertugas itu menunggang motosikal jenis Honda EX5  dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Temiang sebelum dilanggar Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah bertentangan yang hilang kawalan lalu memasuki laluan mangsa.

"Pemandu kereta mengalami kecederaan ringan, pemeriksaan mendapati dia disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan sampel darah diambil untuk ujian di Jabatan Kimia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Hatta berkata lelaki itu direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau hadir ke balai polis berdekatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan