JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Lori Ditahan Pandu Berbahaya Hampir Rempuh Polis

18/08/2025 10:53 AM

NIBONG TEBAL, 18 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu lori ‘tipper’ kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Sungai Daun, di sini pada Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPS menjalankan Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan di kawasan Plaza Tol Jawi di sini  pada11.30 malam.

"Semasa operasi dijalankan, pihak polis mengesan dua lori tipper dalam keadaan mencurigakan dan enggan memberikan kerjasama apabila diarahkan berhenti sebelum terus memecut menuju ke arah Jalan Besar Nibong Tebal.

"Sebuah daripada lori itu melanggar lampu isyarat merah di Bukit Panchor dan hampir merempuh anggota polis yang bertugas, malah pemandunya turut memandu secara berbahaya sehingga ke Jalan Transkrian sebelum ditahan dengan bantuan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal polis di Jalan Sungai Duan, Kampung Ladang Kalidonia," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Siasatan awal mendapati pemandu lori yang juga lelaki tempatan itu tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL), manakala cukai jalan telah tamat tempoh tetapi insurans masih sah.

Beliau berkata lori berkenaan telah disita dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan