KUALA NERUS, 16 Ogos (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik cadangan dan inisiatif pihak berkaitan yang mengambil bekas tentera sebagai tenaga pekerja termasuk warden di institusi pendidikan di negara ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata selain dapat membendung kesalahan disiplin seperti buli terutama di sekolah, insiatif itu juga dapat memberi peluang kerjaya kedua kepada anggota atau veteran tentera.
“Kita amat menyambut baik apabila terdapat agensi yang ingin mengambil veteran sebagai tenaga pekerja. Kerana kita sedia maklum mereka ini telah berkhidmat lebih 20 tahun, jadi kalau mereka berpencen pada usia biasanya 40 atau 41 tahun mereka masih lagi mempunyai pasaran (kerja) di luar.
“Segala pengalaman yang mereka dapat ketika dalam perkhidmatan ini dari segi aspek disiplin, fizikal dan spiritual, mereka boleh kongsi dengan masyarakat serta menjadikan ia sesuatu yang berguna,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) Siri Dua/2025 di Jambatan Angkat di sini hari ini.
Beliau berkata ATM juga sentiasa bersedia menyiapkan warga tentera untuk “digunakan” kembali dalam konteks pembangunan negara dan bangsa selepas berpencen.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi memastikan isu buli dan kes disiplin lain dapat dikekang selain menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat buat semua pelajar.
Menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkata kumpulan pertama warden lantikan sepenuh masa dalam kalangan bekas polis dan tentera itu akan memulakan tugas di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang pada Isnin ini.
Dalam perkembangan lain, Tengku Muhammad Fauzi sekali lagi menegaskan ATM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melakukan kesalahan yang mencemarkan imej pasukan dan negara.
Beliau berkata bukan sahaja tiada keistimewaan yang akan diberikan malah warga tentera yang terlibat dalam mana-mana kesalahan juga tertakluk kepada undang-undang awam dan undang-undang tentera.
“Kita akan memberi bantuan dan kerjasama sebaik-baiknya kepada agensi penguat kuasa untuk melakukan siasatan. Kita tidak kira siapa pun yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan, tidak ada keistimewaan dalam tentera.
“Dalam tentera ini kita terikat kepada dua undang-undang iaitu undang-undang tentera dan undang-undang awam, jadi setinggi mana pun (pangkat), kalau melakukan kesalahan kita tetap akan ambil tindakan,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan pembabitan pegawai kanan ATM dalam sindiket penyeludupan.
Pada Khamis lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan sebuah portal berita, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial