KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kerajaan mengunjurkan sebanyak empat peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berstatus sederhana dan kecil akan terlibat dalam pelaksanaan e-Invois selepas pematuhan mandatori bermula pada 1 Julai, 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata unjuran itu berdasarkan perkembangan semasa pelaksanaan e-Invois setakat 31 Julai lepas yang merekodkan 417 juta e-Invois dikeluarkan oleh 84,000 pembayar cukai, termasuk usahawan PMKS.
“Pada 2024, Malaysia merekodkan 1.08 juta PMKS dengan pecahan 761,897 perusahaan mikro (70.1 peratus), 306,764 perusahaan kecil (28.2 peratus) dan 17,725 perusahaan sederhana (1.6 peratus).
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai peratusan usahawan yang dijangka terlibat dengan e-Invois pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ewon berkata kerajaan menyedari kebimbangan PMKS berhubung kos pematuhan, keperluan melabur dalam perisian perakaunan, latihan pekerja dan risiko penalti jika gagal mematuhi peraturan.
“Sehubungan itu, ambang nilai jualan tahunan untuk pengecualian e-Invois telah dinaikkan kepada RM500,000, manakala program penerangan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan diteruskan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman usahawan.
“LHDN juga telah memberi jaminan bahawa sistem e-Invois yang disediakan agensi itu adalah percuma sekiranya digunakan secara langsung oleh pembayar cukai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial