AM

Projek Pelancongan Dan Pemuliharaan Warisan, MOTAC Peruntuk RM10.14 Juta

13/08/2025 04:52 PM

SEREMBAN, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan RM10.14 juta melalui Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) kepada Negeri Sembilan bagi tahun ini, sebagai usaha strategik memulihara warisan serta memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata peruntukan itu satu komitmen holistik dan strategik kerajaan Persekutuan dalam memastikan warisan, pelancongan serta identiti budaya negeri beradat itu sentiasa dipelihara, dimartabat dan dimajukan secara menyeluruh.

Aminuddin berkata menerusi PPUN, sebanyak 18 projek pelancongan dan pemuliharaan diluluskan merangkumi pelbagai daerah termasuk Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jelebu dan Tampin.

“Keseluruhan projek ini akan memberi nafas baharu kepada destinasi pelancongan dan memperkukuh asas kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata antara projek signifikan melibatkan RM1.2 juta bagi pemuliharaan dan pemindahan Masjid Lama Parit Istana ke kawasan Masjid Tanjung Beringin, yang merupakan simbol pemeliharaan sejarah Islam dan seni bina tradisional Melayu.

Selain itu, RM800,000 disediakan untuk menaik taraf Masjid Tanjung Beringin, menjadikan ia sebuah pusat warisan dan ibadah yang lebih inklusif serta kondusif untuk pelancongan berteraskan warisan dengan penambahbaikan pencahayaan dan landskap di Menara Jam Bandar Port Dickson.

“Penyelenggaraan mercu tanda pelancongan di Bulatan Sunggala, Simpang Lukut-Sepang dan pintu gerbang Port Dickson iaitu identiti visual penting kepada pelawat. Pembangunan ekopelancongan Taman Eko Rimba Gunung Datuk, Taman Negeri Kenaboi, serta Taman Eko Rimba Ulu Bendul.

“RM500,000 bagi menaik taraf Jeti Pulau Burung dan Watch Tower (fasa dua) yang akan membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan maritim dan konservasi biodiversiti,” katanya.

Aminuddin berkata berdasarkan survei penginapan Tourism Malaysia, Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan ketara dalam kemasukan pelancong antarabangsa pada tahun lepas, dengan jumlah kehadiran seramai 0.46 juta orang berbanding 0.34 juta pada tahun 2023 dengan lonjakan sebanyak 35.1 peratus.

Beliau berkata peningkatan itu meletakkan Negeri Sembilan pada kedudukan keenam daripada 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, menjadikannya antara destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.

“Pelancong utama terdiri daripada Singapura, Indonesia, China, Thailand dan Brunei. Jumlah kehadiran pelancong di negeri ini menunjukkan perkembangan positif dengan tarikan pelancongan merangkumi pelbagai segmen seperti ekopelancongan, warisan budaya dan gastronomi,” katanya.

Beliau berkata setiap daerah menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negeri, bukan sahaja melalui pengunjung tempatan malah turut menarik kehadiran pelancong asing sekali gus membuktikan potensi besar negeri ini sebagai destinasi pelancongan.

Aminuddin berkata sebagai langkah strategik memperkukuh momentum ini, kerajaan negeri akan menganjurkan kempen besar-besaran bersempena TMNS 2026 yang bakal mempamerkan kekayaan budaya, keindahan semula jadi serta keunikan Adat Perpatih.

Beliau berkata bagi menjayakan TMNS 2026, aspek infrastruktur pelancongan, pemuliharaan warisan serta inovasi digital terus diperkasakan melalui pendekatan bersepadu antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Segala peruntukan disalurkan ini haruslah diurus dengan penuh integriti, amanah dan kecekapan. Ia bukan hanya untuk membina fizikal struktur semata-mata, tetapi membina maruah, jati diri dan masa depan sektor pelancongan Negeri Sembilan,” katanya.

Aminuddin berkata usaha ini untuk memastikan bahawa Negeri Sembilan benar-benar bersedia untuk menjadi tumpuan dunia menjelang TMNS 2026, serta menjadi negeri contoh dalam pelestarian warisan, kebudayaan dan pembangunan pelancongan yang berdaya saing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan