SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Prof Emeritus Datuk Ir Dr Hassan Basri dilantik sebagai Presiden dan Naib Canselor kelapan Universiti Selangor (Unisel) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 18 Ogos ini.
Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata pelantikan sehingga 17 Ogos 2028 itu bagi menggantikan Presiden dan Naib Canselor terdahulu iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang tamat perkhidmatan pada 30 Jun lepas.
“Pelantikan ini adalah satu langkah strategik yang disokong penuh oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk menjadikan Unisel sebagai universiti peneraju dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
“Ini selaras dengan pengiktirafan UNISEL sebagai satu daripada enam universiti yang tergolong dalam rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN),” katanya menerusi hantaran yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Unisel.
Hasril berkata Hassan berpengalaman luas dalam bidang akademik, industri dan pengurusan serta Profesor Emeritus di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penasihat Teknikal di Produktif Sepakat Consulting Engineers Sdn Bhd dan Pengarah Kualiti di Perunding Atur Trafik Sdn Bhd.
Hassan juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari Universiti Tasmania, Australia (1982) serta Ijazah Sarjana (Kejuruteraan) dengan Kepujian (Kejuruteraan Kesihatan Awam Tropika) (1988) dan Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Leeds, United Kingdom (1994).
Beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar, Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendidikan Kejuruteraan.
“Hassan turut mempunyai pengalaman industri yang signifikan sejak 1983 hingga 1998, menjadikan beliau tokoh yang seimbang antara akademik dan keperluan sebenar industri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial