SUKAN

Munoz Mahu Perkukuh Pertahanan JDT Selepas Tewaskan N. Sembilan

13/08/2025 11:25 AM

ISKANDAR PUTERI, 13 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz  menggesa barisan pemainnya lebih konsisten dan berdisiplin terutama di bahagian pertahanan walaupun mencatat kemenangan 5-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi mendebarkan Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi. 

Munoz mengakui JDT memulakan perlawanan dengan agak perlahan sekali gus membenarkan pasukan lawan melakukan serangan balas yang mendedahkan kelemahan di bahagian pertahanan.

“Hari ini (malam tadi) pemain sedikit leka dalam lima minit pertama dan memberi ruang lawan menjaringkan gol menerusi serangan balas…kita perlu lebih konsisten, kuat di kedua-dua bahagian (pertahanan dan serangan) dan keutamaan adalah tanpa bolos,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi. 

Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan kepentingan untuk pemain belajar daripada situasi sebegitu dan menyesuaikan diri sepanjang berlangsungnya liga. 

“Saya rasa sekarang kita masih di peringkat awal liga dan kita perlu belajar daripada situasi ini, kita perlu faham apa yang perlu dilakukan bila bermain di laman sendiri, bila bermain di tempat lawan, apa yang berlaku di minit-minit pertama dan kita perlu lebih agresif,” katanya.

Munoz berkata Negeri Sembilan telah memanfaatkan kelajuan mereka di bahagian tengah, kiri dan kanan manakala JDT pula dilihat tidak bersedia dalam situasi pertahanan ketika sepakan percuma dan serangan balas yang pantas. 

“Gol pertama berpunca daripada serangan balas… bahagian sayap mereka sangat laju dan kita sebenarnya telah bersedia dalam latihan untuk situasi seperti ini,” katanya menambah pasukannya agak terleka ketika bertahan bagi gol seterusnya.

Beliau juga menggesa pemainnya agar lebih tenang ketika serangan sambil menekankan keperluan untuk pemain untuk membuat keputusan lebih baik ketika di kawasan lawan. 

Walaupun bolos tiga gol, beliau tetap memuji serangan JDT dengan menghasilkan 25 percubaan ke arah gol, beberapa sepakan sudut, dan dua jaringan menerusi situasi yang sukar.

Beliau berkata antara pemain yang menyerlah malam tadi termasuk Jon Irazabal, yang menjaringkan dua gol yang mencetuskan kebangkitan JDT, selain Jaoa Figueiredo dan Arif Aiman Mohd Hanapi manakala pemain gantian  Bergson da Silva memastikan kemenangan menerusi jaringan cantik pada masa tambahan.

Aksi bertenaga JDT turut disokong oleh kehadiran penyokong tuan rumah yang begitu bersemangat, walaupun Munoz mengakui jumlah penyokong terjejas disebabkan hari bekerja. 

“Saya harap perlawanan seterusnya akan ada lebih ramai penyokong hadir beri sokongan tetapi memang agak sukar untuk meluangkan masa apabila bermain pada hari-hari seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan