BUKIT MERTAJAM, 2 Ogos (Bernama) -- Polis menyita 22 motosikal dalam Op Samseng Jalanan Bersepadu di Jalan Perda Barat, Bandar Perda di sini semalam.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) operasi dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung kegiatan kumpulan remaja yang berkumpul di lokasi berkenaan pada waktu petang.
Mereka dikatakan berlumba sesama mereka dan bunyi ekzos yang bising, ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya tetapi turut mengganggu ketenteraman awam.
“Dalam operasi itu pasukan trafik mengesan beberapa kumpulan remaja bermotosikal berkumpul dan membuat bunyi bising melalui ekzos kenderaan yang telah diubah suai.
“Sebanyak 45 motosikal telah diperiksa, 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 22 motosikal turut disita,” menurut IPD itu.
Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD SPT dibantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Balai Bukit Tengah dan Balai Bukit Mertajam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial