MELAKA, 30 Julai (Bernama) -- Sempena sambutan Bulan Kebangsaan kali ini, McDonald’s Malaysia mengorak langkah penuh patriotik dengan menyertai pelbagai inisiatif merdeka, antaranya Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang bermula pada 27 Julai lepas.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata menerusi KMJG, sebanyak 15 restoran McDonald’s akan menjadi lokasi persinggahan konvoi motosikal yang menjelajah ke 88 lokasi terpilih di seluruh negara.
Beliau berkata McDonald’s Malaysia menyertai program anjuran Kementerian Komunikasi itu bagi meraikan sambutan penuh bermakna buat negara dan rakyat Malaysia selain menyemarak semangat Jalur Gemilang serta membawa kemeriahan kepada masyarakat Malaysia.
"Sebagai jenama yang membesar bersama rakyat Malaysia sejak 43 tahun lepas, kami percaya sambutan Hari Kebangsaan ialah saat penting untuk kita bersatu, meraikan kepelbagaian dan meluahkan rasa cinta pada negara.
"Oleh itu, McDonald’s Malaysia menyertai inisiatif ini untuk mengambil peranan yang lebih besar sebagai syarikat tempatan, menjadikan restoran-restoran kami sebagai tempat untuk rakyat Malaysia mengukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan dengan meraikan kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas Program KMJG 2025 di Restoran McDonald’s Batu Berendam di sini hari ini.
Program berkenaan disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Allex Seah Shoo Chin.
Melati berkata perhentian pertama konvoi KMJG berkenaan ialah McDonald’s Kluang, Johor pada 28 Julai lepas dan perhentian kedua McDonald’s Batu Berendam di sini hari ini dan akan berakhir di McDonald’s Pandu Lalu Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur pada 16 Ogos.
Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik bertema kemerdekaan disediakan di restoran yang menjadi lokasi persinggahan konvoi berkenaan, antaranya pengagihan Jalur Gemilang secara percuma, pelekat pandu lalu edisi Merdeka, baucar makanan edisi khas merdeka dan Sundae Cone McDonald’s percuma, aktiviti interaktif bersama keluarga dan dekorasi restoran bertema Hari Kebangsaan.
"Selain itu, McDonald’s Malaysia berbesar hati untuk mengajak rakyat Malaysia meraikan sambutan Ambang Merdeka di McDonald’s Pandu Lalu Putrajaya Presint 2 bermula dari 29 hingga 31 Ogos ini.
"Sebagai penutup yang bermakna, McDonald’s Malaysia juga akan mengambil bahagian pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya dan sebanyak 50,000 baucar makanan percuma serta 2,500 hadiah edisi terhad 'Mekdi' akan diedarkan kepada pengunjung," katanya.
Selain itu, sepanjang Julai dan Ogos ini, McDonald’s Malaysia menerusi lebih 370 restorannya di seluruh negara juga memberi hidangan percuma kepada badan beruniform atas jasa mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara tanpa mengira masa demi kesejahteraan rakyat.
Pada 27 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelepasan KMJG 2025 bersempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar di Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial