AM

Masjid Di Ibu Kota Siap Sedia Laksana Ibadah Korban Menjelang Aidiladha

06/06/2025 06:21 PM

Oleh Ahmad Idzwan Arzmi dan Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Ketika orang ramai mula bergerak pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok, pihak pengurusan masjid di sekitar ibu kota pula sibuk mengatur persiapan bagi menjalankan ibadah korban.

Segala aspek diteliti sama ada dari segi logistik, mahupun petugas yang akan terlibat bagi memastikan ibadah itu dapat dijalankan dengan sempurna mengikut tuntutan agama.

Imam Masjid Negara Mohd Nadzri Mustakim berkata tahap kesihatan petugas menjadi keutamaan agar ibadah itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

“Selain itu, kita sediakan tempat korban, selenggara peralatan, pastikan permit lembu dan kambing diperoleh serta bersihkan kawasan sekitar. Ruang solat utama juga sudah disiapkan untuk menerima jemaah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Nadzri berkata sebagai masjid utama negara, pihak pengurusan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata ibadah korban di Masjid Negara akan dijalankan selama dua hari, dengan 19 ekor kambing dan biri-biri akan disembelih selepas solat sunat esok, manakala 10 ekor lembu pada hari Ahad bermula pukul 8 pagi.

Di Masjid Amru Ibni Al-‘As, Bandar Baru Sentul dekat sini, sebanyak 10 ekor lembu yang ditempah khas dari Kelantan akan dikorbankan tahun ini.

Imam masjid itu, Zulfahmi Samsudin berkata jemaah masjid akan memantau dan menjaga kesemua lembu berkenaan bermula malam ini.

“Kita juga ada menyediakan beberapa pasukan termasuk pasukan cari lembu, jamuan dan teknikal yang melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi lain. Malam ini kita juga adakan jamuan berbuka puasa kepada jemaah yang berpuasa sempena puasa sunat Arafah,” katanya.

Sementara itu, warga kota turut sibuk membuat persiapan menyambut Aidiladha dengan membanjiri pasar awam seawal pukul 6 pagi untuk mendapatkan barangan keperluan bagi memasak juadah hari raya.

Peniaga santan di Pasar Dato Keramat Azhar Salleh, 60, berkata gerainya dibuka seawal pukul 2 pagi berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Kebiasaannya saya mula berniaga pukul 8 pagi, tapi memandangkan Hari Raya Haji esok, saya buka lebih awal supaya pelanggan boleh beli,” katanya.

Penjawat awam, Noraini Gafar, 38, pula berkata dia mengambil cuti bagi membuat persiapan dengan membeli sayur-sayuran di pasar itu.

“Saya datang awal pagi tadi, tapi orang tetap ramai. Memang meriah suasana pasar basah ini. Walaupun terpaksa berhimpit sedikit, saya lega sebab barang yang saya ingin cari masih ada dekat sini,” katanya yang ditemani anak perempuannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan