MELAKA, 5 Jun (Bernama) -- Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dikhuatiri sesat selepas dipercayai keluar mencari lembu yang hilang di dalam hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini petang semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata usaha mencari Muhamad Aidil Asyraf Fadli,15, digerakkan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.54 malam tadi.
"Pencarian dilakukan di sekitar kawasan kandang lembu dan turut dibantu pasukan polis serta orang awam hingga 1.35 pagi tadi sebelum disambung pada 7 pagi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Akhbar Abdol Karim dengan dibantu enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu.
Setakat 12 tengah hari, katanya pasukan operasi belum menemukan sebarang petunjuk berkaitan kehilangan remaja itu.
Ibu remaja itu, Siti Norehan Azhar, 38, berkata anak kedua daripada enam beradik yang mesra disapa 'Gemuk' itu disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas menjalankan rutin hariannya menjaga 13 ekor lembu milik bapa saudaranya.
Norehan berkata setiap hari lepas sekolah, Muhamad Aidil Asyraf akan menguruskan lembu dan pulang ke rumah sekitar 7 malam.
"Selepas 8 malam tadi, saya mula rasa pelik dan tidak sedap hati kerana Muhamad Aidil Asyraf masih tidak pulang. Sepupunya keluar mencarinya serta melaungkan azan di sekitar kawasan kandang.
"Kira-kira 10 malam, kami menemukan lembu yang hilang di kolam terbiar di hutan berhampiran namun Aidil (Muhamad Aidil Asyraf) masih tidak kelihatan,” katanya yang yakin anaknya tidak pergi jauh kerana remaja itu tidak suka melepak atau keluar bersama rakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial