AM

'Our Land Our Home': Lagu Tema ASEAN 2025 Semarakkan Semangat Perpaduan Serantau

27/05/2025 05:23 PM

Oleh Nuhafizah Tan

KUALA LUMPUR , 27 Mei (Bernama) -- Semangat kebersamaan dalam ASEAN menjadi sumber inspirasi utama ciptaan lagu tema Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Our Land, Our Home. Lagu ini digubah khusus untuk menyatukan pelbagai bangsa dan latar belakang di rantau ini dalam satu irama yang harmoni.

Pencipta lagu Datuk Mokhzani Ismail, berkata lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi berbakat Aina Abdul, itu dihasilkan dalam masa dua minggu dengan tujuan menyampaikan mesej perpaduan serantau melalui susunan melodi dan lirik yang bermakna.

“Lagu ini mesti ada jiwa ASEAN. Saya telah mengkaji peranan, sejarah, dan latar belakang negara anggota bagi memastikan setiap not mewakili kepelbagaian yang ada dalam satu kesatuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemilihan Aina sebagai penyanyi pula, katanya dibuat berdasarkan keupayaannya menyampaikan lagu berbahasa Inggeris dengan sebutan yang jelas dan emosi yang mendalam, faktor penting bagi memastikan mesej lagu dapat dirasai di pentas antarabangsa.

“Sebaik Aina setuju, saya reka melodi mengikut jangkauan vokalnya. Ini bukan sekadar lagu, tetapi suara kolektif ASEAN,” katanya.

Lirik lagu ditulis oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Komunikasi Rafiza Rahman, yang memilih tajuk Our Land, Our Home untuk memperkukuh mesej penyatuan dalam kepelbagaian.

Walaupun bertemakan global, lagu ini turut diselitkan unsur tradisional pada bahagian akhir sebagai simbol akar budaya rantau ini.

Sementara itu, Aina menerusi hantaran Instagramnya sebelum ini menyifatkan peluang menyanyikan lagu tema untuk sebuah persidangan berprestij itu sebagai satu penghormatan.

Penyanyi berusia 31 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karya ini.

"Terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam pembikinan karya ini... and thank you for having me. What an honor (Terima kasih atas peluang ini. Satu penghormatan besar).”... Alhamdulillah," tulisnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”. 

Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan