PORT DICKSON, 31 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan delegasi yang akan menghadiri beberapa mesyuarat sempena Kepengerusian ASEAN 2025, yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di Port Dickson pada 9 dan 10 Sept ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Nicole Tan berkata persediaan termasuk dalam aspek kebersihan, keceriaan, landskap dan pengisian program, yang menonjolkan keunikan budaya dan tradisi Negeri Sembilan khususnya adat perpatih yang unik bagi negeri itu.
“Persiapan telah mencapai 100 peratus, cuma masih ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik dalam memastikan semuanya berada dalam keadaan sempurna, untuk kita menyambut kedatangan delegasi ini.
"Sambutan ini juga bakal menjadi platform mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dengan menampilkan keunikan budaya, pemandangan indah, makanan tradisional tempatan dan layanan mesra yang dipamerkan selain tempat menarik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Port Dickson 2025 di sini semalam.
Beberapa mesyuarat dan program melibatkan ASEAN dijadualkan berlangsung di Negeri Sembilan pada 9 dan 10 Sept ini, termasuk mesyuarat pegawai kanan (SOM) bagi ASEAN Campur Tiga (APT) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), selain Forum Maritim ASEAN ke-15 dan Forum Maritim ASEAN yang Diperluas ke-13.
Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Dalam pada itu, Tan berkata seramai 100,000 pengunjung dijangka hadir pada Festival Port Dickson yang diadakan selama empat hari bermula Khamis, membabitkan 60 peniaga termasuk pempengaruh.
“Saya berharap tahun akan datang ia dapat dilaksanakan dengan skala lebih besar, termasuk melibatkan pempengaruh dari luar negara dan sebagainya,” katanya dan menambah akan terus memberi sokongan dari segi peruntukan untuk memajukan industri pelancongan di semua daerah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial