AM

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447h Berlangsung Hari Ini, Agong Berangkat Sempurnakan Majlis

27/06/2025 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Acara kemuncak Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M berlangsung hari ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dengan jangkaan kehadiran lebih 8,000 tetamu tempatan serta antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat tiba pada 9.30 pagi bagi menyempurnakan sambutan itu. 

Majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri.

Hadir sama perwakilan asing di Malaysia, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, para pegawai kanan kontinjen yang mengambil bahagian serta orang awam.

Tumpuan terarah kepada Titah Diraja oleh Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda akan turut menyempurnakan pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan serta Antarabangsa.

Antara pengisian lain ialah tausiyyah (ceramah) khas hijrah yang akan disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M akan disiarkan secara langsung menerusi Jabtan Penyiaran Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan stesen televisyen tempatan selain boleh ditonton secara penstriman langsung menerusi media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tema sambutan kali ini iaitu 'Membangun Ummah MADANI', menyeru umat Islam supaya mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat yang lebih bertamadun, inklusif dan seimbang daripada segi kerohanian serta fizikal.

JAKIM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan tema sambutan itu menepati elemen keterangkuman dalam membina masyarakat bertamadun bukan sahaja daripada aspek fizikal malah melahirkan modal insan yang cemerlang daripada aspek kerohaniannya.

“Sambutan kali ini akan mengetengahkan semangat hijrah khususnya usaha serta pengorbanan yang dirukuni oleh Rasulullah SAW dalam membangunkan ummah yang berteraskan kepada nilai-nilai murni, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, kehormatan, keyakinan dan ihsan khususnya dalam meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian,” menurut JAKIM.

Semalam, umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu 1447H dengan penuh penghayatan dan keinsafan melalui Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang diadakan di masjid serta surau di seluruh negara.

-- BERNAMA 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan